Media Sosial

fb  rss
faq hubungi-kami  aduan   peta-laman
Laman Utama Arkib Pengumuman 2023 Arkib Pengumuman 2023 KETIDAKPATUHAN PENGENDALIAN TUNTUTAN BAYARAN BALIK (REFUND) BAGI KES “NO SHOW PASSENGERS” OLEH PEGAWAI, PUSAT TANGGUNGJAWAB (PTJ) DAN TANGGUNGJAWAB PEGAWAI, PTJ DAN SYARIKAT PENERBANGAN

ANM.PHG.600-15/3/23 (10)

Semua Ketua Pusat Tanggungjawab

Di Bawah Seliaan JANM Pahang

YBhg. Dato’/ Datin/ Tuan/ Puan,

Dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas dan surat edaran BPOPP bilangan 10 tahun 2023 rujukan JANM.BPOPP.600-15/4/13(36) bertarikh 24 November 2023 adalah berkaitan.

2.       Untuk makluman YBhg Dato’ /Datin / Tuan/ Puan, berdasarkan semakan Jabatan Akauntan Negara Malaysia mendapati bahawa Bayaran Balik bagi kes “No Show Passengers” untuk pembelian tiket penerbangan melalui Waran Perjalanan Udara Awam (WPUA) yang tidak dituntut melebihi setahun oleh PTJ, amaun refund tiket penerbangan tersebut termasuk Passenger Service Charge (PSC) telah diserahkan kepada Wang Tak Dituntut, Jabatan Akauntan Negara Malaysia berdasarkan Akta Wang Tak Dituntut (WTD) yang berkuat kuasa.

3.       Pekeliling Perbendaharaan WP 2.5 – Kemudahan Perjalanan Udara Rasmi, perenggan 7.4.1 menyatakan bahawa Ketua Jabatan hendaklah mengadakan peraturan dalaman bagi “No Show Passengers” untuk memastikan setiap pegawai yang diberikan tiket penerbangan melaporkan kepada Jabatan sama ada beliau telah menggunakan tiket penerbangan tersebut atau tidak.

4.       Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Tatacara Pengurusan Bayaran yang berkuat kuasa berkaitan Garis Panduan Tatacara Pengurusan Bayaran Pukal, juga telah menyatakan dengan jelas tindakan PTJ untuk memastikan perkara berikut dipatuhi :

  1. Pegawai yang tidak menyempurnakan perjalanan hendaklah mengembalikan tiket penerbangan yang tidak digunakan berserta Borang Permohonan “No Show Passengers” seperti di Lampiran 1 yang diperaku oleh Ketua Jabatan. Borang berkenaan hendaklah dikemukakan kepada bahagian/ unit yang mengeluarkan WPUA dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perjalanan sebenar;
  2. Bahagian/ Unit yang mengeluarkan WPUA hendaklah menyelenggara Daftar “No Show Passengers” seperti di Lampiran 2 untuk semua tiket perjalanan yang tidak disempurnakan bagi tujuan kawalan dan tindakan selanjutnya;
  3. Bahagian/ Unit yang mengeluarkan WPUA hendaklah mendapatkan pengesahan berkaitan “No Show Passengers” daripada syarikat penerbangan dan menyemak dengan Daftar “No Show Passengers”;
  4. PTJ bertanggungjawab untuk mengemukakan tuntutan bayaran balik (refund) bagi tiket penerbangan yang tidak digunakan dengan kelulusan Ketua Jabatan (kerana kepentingan perkhidmatan). Walau bagaimanapun, bayaran balik oleh syarikat penerbangan adalah tertakluk kepada terma syarat, penelitian dan pengesahan syarikat penerbangan.
  5. Tuntutan bayaran balik WPUA termasuk “No Show Passengers” hendaklah dikemukakan oleh PTJ kepada syarikat penerbangan dengan mengemukakan surat permohonan Ketua Jabatan seperti di Lampiran 3 dan dokumen sokongan/ lain-lain maklumat jika melalui permohonan online melalui portal agensi penerbangan dengan kadar segera.

     Carta alir bagi proses berkaitan dengan “No Show Passengers” dan tanggungjawab pegawai, PTJ dan Syarikat Penerbangan adalah seperti di Lampiran 4.

5.       Syarikat Penerbangan adalah bertanggungjawab untuk memastikan perkara berikut:

  1. Bayaran balik bagi WPUA termasuk “No Show Passengers” dipulangkan kepada Kerajaan dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh tuntutan diterima daripada PTJ seperti mana termaktub di dalam Perjanjian Kemudahan Bayaran Pukal bersama Kerajaan; atau
  2. Sekiranya tiada tuntutan bayaran balik daripada PTJ dalam tempoh tiga bulan (90 hari) dari tarikh “No Show Passengers”, syarikat penerbangan hendaklah mengemukakan maklumat No Show Passenger kepada Pejabat Perakaunan dan PTJ melalui emel yang sama untuk semakan/ tindakan PTJ selanjutnya bagi mengelakkan kerugian jumlah tuntutan bayaran balik jika melebihi tempoh yang ditetapkan dan diserahkan kepada WTD jika melebihi tempoh setahun. Terma refund No Show Passenger bagi setiap agensi penerbangan adalah seperti di Lampiran 5.

6.       Justeru, kerjasama dan perhatian pihak YBhg. Dato’/ Datin/ Tuan/ Puan agar mematuhi pekeliling dan peraturan berkuat kuasa bagi memastikan tuntutan bayaran balik bagi kes “No Show Passenger” dibuat dengan kadar segera kepada syarikat penerbangan.

Sekian, terima kasih.

 

UNIT PENGURUSAN DANA

SEKSYEN OPERASI

JABATAN AKAUNTAN NEGARA MALAYSIA NEGERI PAHANG

 

29 NOVEMBER 2023